Tiga Lelaki Ditahan Curi Tong Gas, Beras dan Guna Wang Palsu di Kota Marudu

Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan suspek mencuri beras dan memasukkan ke dalam kenderaan tanpa membuat pembayaran.

KOTA MARUDU: Tiga lelaki warga tempatan diberkas selepas disyaki terlibat beberapa kes jenayah membabitkan kecurian tong gas, beras serta penggunaan wang palsu sekitar daerah ini, sepanjang Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simun Lomudin berkata, polis menerima laporan pertama pada 14 Januari berkaitan kehilangan tong gas di sebuah kedai runcit di Jalan Goshen.

Menurutnya, suspek dipercayai mencuri 10 tong gas yang diletakkan di kaki lima premis berkenaan.

Beliau berkata, pada 28 Januari, polis menerima satu lagi laporan daripada penjaga kaunter stesen minyak berhubung penerimaan wang palsu RM100 daripada seorang pemandu kenderaan kompak warna gelap.

“Suspek dipercayai menggunakan wang palsu ketika membuat bayaran bagi pengisian petrol.

“Pada hari sama, satu lagi laporan diterima melibatkan kecurian lima kampit beras di kedai runcit di Jalan Goshen

“Suspek dilaporkan memasukkan beras ke dalam kenderaan sebelum beredar tanpa membuat bayaran,” katanya.

Tambahnya, kejadian berkenaan dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis dan rakaman beredar di media sosial.

“Polis kemudian menjalankan risikan sebelum sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Marudu melancarkan operasi tangkapan pada 30 Januari.

“Hasil operasi, tiga lelaki tempatan berumur antara 29 hingga 30 tahun diberkas di tiga lokasi berasingan iaitu di Kampung Marudu Laut, Kampung Ranau dan Kampung Radu,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, semua suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri serta menggunakan wang palsu.

“Polis turut merampas semula tujuh tong gas dan lima kampit beras yang dipercayai barang curi.

“Sebuah kenderaan jenis kompak berwarna gelap yang digunakan ketika kejadian juga dirampas bagi membantu siasatan.

“Semakan rekod lampau mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai kesalahan terdahulu, manakala seorang daripadanya masih dikehendaki bagi kes mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 2024,” katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut menjumpai satu tiub berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dalam simpanan seorang suspek.

“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif amphetamine atau methamphetamine.

“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 489B Kanun Keseksaan serta kes dadah disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah kesemua suspek direman bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat serta menggesa masyarakat terus bekerjasama dalam usaha membanteras jenayah di daerah ini.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *