
SEMPORNA: Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati memiliki dadah disyaki syabu seberat 5.50 gram di tempat letak kereta Jeti Pelancong, Kampung Bangau-Bangau, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan, sebelum operasi tapis dijalankan.
Katanya, seorang lelaki dikesan dalam keadaan mencurigakan disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
“Tangkapan berkenaan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), IPD Semporna kira-kira jam 8.30 malam.
“Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat lebih kurang 5.50 gram.
“Paket berkenaan ditemukan dalam satu kotak rokok yang diserahkan sendiri oleh suspek sebelum ditahan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang merupakan warganegara Filipina berusia 30 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tan menegaskan pihak polis akan meneruskan komitmen tinggi dalam memerangi jenayah narkotik bagi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat, khususnya generasi muda di Semporna.
Beliau juga menggesa orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan di balai polis terdekat bagi tindakan lanjut.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah