
KOTA KINABALU: Seramai 33 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan imigresen di sekitar Kota Kinabalu dan Kudat menerusi Ops Jaja, Ops Kutip, Ops Mahir dan Ops Sapu dari 16 Disember hingga Khamis.
Operasi digerakkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dan Kudat dengan kekuatan 40 pegawai bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi JIM Sabah, seramai 111 individu melibatkan warganegara tempatan dan warga asing diperiksa sepanjang tempoh operasi.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 33 warga asing yang disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal memiliki dokumen perjalanan atau pas sah.

Pecahan tangkapan melibatkan 19 lelaki dewasa warga Filipina, seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina, 12 wanita dewasa warga Filipina serta seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, menjadikan keseluruhan 20 lelaki dan 13 perempuan.
Semua orang kena tahan (OKT) dibawa ke Depot Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dijalankan secara berterusan bagi membanteras kehadiran PTI serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang imigresen negara.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah