JKR Perlu Atasi Masalah Jalan Raya Merotai-Kalabakan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata

KOTA KINABALU: Masalah kemudahan asas seperti jalan raya dari Merotai ke Kalabakan tidak pernah diselesaikan walaupun menteri saling bertukar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Sarifuddin Hata berkata, keadaan jalan raya di kawasan itu semakin hari semakin membimbangkan. 

“Saya mohon kepada pihak kerajaan khususnya Menteri Kerja Raya Sabah yang baharu, tolong turun melihat sendiri dan ambil tindakan sewajarnya.

“Dalam pembentangan belanjawan juga disebut bahawa projek berimpak tinggi akan di laksanakan termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B merangkumi jajaran sepanjang 388 kilometer.

“Namun jalan Kalabakan ini memang tidak terlibat dalam mana-mana fasa Pan Borneo,” katanya semasa di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-17, hari ini.

Beliau menekankan jalan raya kawasan itu harus diselenggara secara berkala dan perlu dinaik taraf semula ke jalan berturap.

Selain itu, beliau ingin pihak Jabatan Kerja Raya kerap turun memantau dan menyelenggara jalan Gudang 4 yang telah banyak mengalami kerosakan akibat lori-lori kontraktor pembinaan empangan cinta mata. 

“Lori-lori ini yang lebih muatan mengakibatkan jalan-jalan sepanjang kampung Gudang 4 ini rosak teruk dan membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

Selain daripada jalan raya katanya, beliau juga mencadangkan agar Kementerian Kesihatan atau Jabatan Kesihatan supaya membuka semula cawangan klinik Kesihatan di Taman Semarak. 

Katanya, ia bagi memudahkan masyarakat setempat mendapatkan rawatan susulan memandangkan Klinik Kesihatan Kubota begitu sesak setiap hari.

“Berkenaan dengan jaringan internet yang lemah di SK Brumas, sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberikan perkhidmatan Starlink untuk sekolah ini. 

“Namun ia telah ditamatkan tanpa alasan. Saya cadangkan supaya Sabah Softwood Sdn Bhd memberikan CSR kepada sekolah ini untuk perkhidmatan Starlink,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *