
KOTA KINABALU: Seramai 24,426 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera, polis dan pasangan hadir di 58 pusat pengundian awal di seluruh Sabah sebaik pusat undi dibuka tepat jam 8 pagi.
Daripada jumlah terbabit, 11,697 ialah anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 lagi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasangan.
Bagi pengundi awal dalam kategori tentera, pusat undi dibuka di beberapa kem dan lokasi strategik termasuk Kem Sri Kudat, Kem Paradise Kota Belud, Sekolah Kebangsaan Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Markas Rejimen 507 Askar Wataniah Kota Kinabalu, Sekolah Agama Rakyat Kem Lok Kawi, Kem Cenderawasih Lahad Datu serta Kem Kubota di Sebatik.
Bagi kategori polis, pengundian dijalankan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta beberapa Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) seluruh negeri.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, proses pengundian awal berjalan lancar di semua lokasi dengan kehadiran pengundi mengikut aliran yang ditetapkan SPR.
“Walaupun keadaan cuaca agak hujan, bilangan pengundi yang datang awal ke pusat mengundi Mess Pegawai Kanan IPK Sabah sangat memberangsangkan.
“Kita harapkan kesemua anggota dan pegawai akan turun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan mencapai peratusan pengundian penuh menjelang petang,” katanya semasa ditemui selepas selepas mengundi awal di sini.
Dalam pada itu, bercakap mengenai kawalan keselamatan, Jauteh berkata, Kontinjen Sabah menggerakkan 12,000 pegawai serta anggota polis dengan bantuan 1,200 kontinjen bantuan bagi persediaan hari mengundi pada 29 November ini.
“Semua persiapan sudah dibuat dengan sebaik mungkin dan kita juga mengadakan perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta semua agensi yang terlibat dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) agar proses mengundi berjalan lancar.
“Bagi pihak PDRM sendiri, kita sudah selesai mengundi awal dan bersiap siaga untuk memberikan perkhidmatan terutama sekali dari segi keselamatan dan ketenteraan sebaik yang mungkin,” katanya.
Beliau berkata, penugasan juga akan diteruskan selepas proses mengundi dan akan menempatkan pegawai serta anggota di beberapa lokasi panas yang dikenalpasti.
“Kita belum mengetahui bagaimana keputusan pengundian kelak, walaupun bagaimanapun, kita akan memastikan bahawa semua pihak akan berpuas hati dengan penugasan ataupun cara kita melaksanakan tanggungjawab di Sabah ini.
“Meskipun sesebuah kawasan dikategori sebagai lokasi panas atau menjadi tumpuan selepas proses mengundi ini, penugasan polis adalah normal dan kita membuat beberapa kawalan-kawalan tertentu berdasarkan kenapa kawasan itu menjadi hotspot,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah