
KENINGAU: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori membawa muatan telur terbabas sebelum terbalik di tepi jalan di Kampung Bariawa Ulu pagi Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu menyebabkan pemandu lori berumur 58 tahun maut di lokasi manakala identiti seorang lagi mangsa belum diperoleh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Penguasa Bomba Darren John Ce berkata, lori lapan tan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik menyebabkan tiga mangsa tersepit dalam kenderaan.
“Seorang mangsa cedera ringan berjaya keluar sendiri sebelum pasukan bomba tiba.
“Dua mangsa lagi tersepit di bahagian papan pemuka dan struktur lori termasuk bahagian stereng yang menghimpit mereka,” katanya.
Katanya, pasukan operasi menggunakan peralatan khas penyelamatan kemalangan jalan raya (RTA) serta telescopic ram secara manual untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
“Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM.
“Mangsa cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
“Mayat dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.59 tengah hari.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah