
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited membangunkan Sabah melalui pelaksanaan projek infrastruktur utama bagi menangani isu ‘AJK’, iaitu air, jalan dan ‘karan’ (bekalan elektrik) di negeri ini.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata komitmen itu terbukti melalui usaha berterusan sejak awal pentadbiran Anwar, terutamanya melalui pembangunan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dan Lebuh Raya Pan Borneo.
“Kita semua sedia maklum mengenai isu ‘AJK’, tetapi Perdana Menteri bersama kerajaan negeri menumpukan perhatian untuk melaksanakan projek infrastruktur demi manfaat rakyat.
“Sejak mula-mula beliau menjadi Perdana Menteri, sebelum pilihan raya Sabah pun, beliau telah turun ke negeri ini bagi memastikan penyelesaian dan akhirnya menyelesaikan isu infrastruktur terutama ‘AJK’,” katanya.
Beliau berkata, Anwar turun ke Sabah pada Disember 2023, kira-kira setahun selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri untuk merasmikan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di kawasan pedalaman Tenom bagi memastikan isu berkaitan elektrik dan air diselesaikan secara tuntas.
“Projek ini bukan sahaja menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Sabah, malah membuktikan kerajaan sentiasa mengutamakan keperluan asas rakyat tanpa mengira lokasi sama ada di bandar atau luar bandar,” katanya.
Empangan yang dijangka siap pada 2029 itu bakal menjana tenaga elektrik 187.5 Megawatt (MW), sekali gus meningkatkan grid bekalan tenaga Sabah sebanyak 15 peratus, selain berpotensi membekalkan 6,000 juta liter air sehari.
Shamsul Iskandar berkata, Perdana Menteri turut mengambil langkah tegas memastikan projek Lebuh Raya Pan Borneo dilaksanakan segera walaupun kepimpinan kerajaan negeri terdahulu menangguhkan pelaksanaannya.
“Perdana Menteri bersama kerajaan Sabah menumpukan perhatian untuk melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo ini,” katanya menyifatkan kemudahan itu sebagai nadi pembangunan menyambungkan komuniti, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah.
Beliau berkata, projek Lebuh Raya Pan Borneo yang membabitkan pembinaan jalan sepanjang 706 kilometer di Sabah dalam Fasa 1 memberi impak besar kepada ekonomi negeri ini, terutamanya dalam memudahkan pergerakan barang dan perkhidmatan antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Mereka (rakyat) mahu air, jalan dan elektrik. Perkara asas ini tidak boleh diselesaikan dengan retorik dan slogan semata-mata. Perdana Menteri telah memulakan langkah, usaha dan kerja untuk menyelesaikannya sejak awal, sebelum pilihan raya lagi,” katanya.
Mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Shamsul Iskandar, berkata Anwar telah menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan dalam melaksanakan perjanjian itu, malah satu-satunya Perdana Menteri berjaya menyelesaikan sembilan tuntutan dalam perjanjian itu.
“Keikhlasan dan kesungguhan, dalam istilah kita, menunjukkan komitmen Perdana Menteri menyelesaikan tuntutan ini. Seperti yang selalu kita dengar dalam ucapan beliau, ia dibuktikan melalui tindakan. MA63 adalah perjanjian lama yang perlu dilaksanakan dan itu tanggungjawab Perdana Menteri,” katanya.
Beliau menjelaskan, MA63 perlu dilaksanakan secara bertahap bagi memastikan ia selesai secara berkesan, justeru perundingan serta perbincangan sentiasa dijalankan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
Setakat ini, sebanyak 13 daripada 29 tuntutan MA63 telah diselesaikan, iaitu sembilan di bawah pentadbiran Anwar dan empat di bawah pentadbiran Perdana Menteri terdahulu.
Shamsul Iskandar berkata, Kerajaan MADANI menerusi Belanjawan 2026 memperuntukkan RM6.9 bilion bagi pembangunan Sabah, meningkat berbanding RM6.7 bilion tahun ini bagi memastikan negeri ini terus dibangunkan. – BERNAMA
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah