
KALABAKAN : Pasukan polis dari Balai Polis Kalabakan menahan dua individu warga asing selepas mereka didapati memiliki sejumlah bahan disyaki dadah jenis syabu dalam satu pemeriksaan di Kampung Rancangan Kalabakan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kalabakan berkata, kedua-dua suspek seorang lelaki berusia sekitar 36 tahun dan seorang wanita berusia 44 tahun ditahan ketika anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas suspek lelaki menemukan 15 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 20.73 gram di dalam beg hitam miliknya.
“Manakala pemeriksaan terhadap suspek wanita pula menemukan satu kotak berisi 21 paket plastik lutsinar yang mengandungi bahan disyaki syabu dengan anggaran berat 5.03 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kedua-dua suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah