
SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Jalan Sabait, Batu 10, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada orang awam.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian sebelum terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak kerana jarak terlalu dekat lalu melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan hingga menyebabkan kematian,” katanya.
George turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah