Polis Tahan Pemandu Van Cabul Pelajar Sekolah Di Tawau

Suspek ketika ditahan pihak Polis. – Foto Polis Daerah Tawau

TAWAU: Perjalanan pulang seorang pelajar perempuan dari sekolah bertukar detik hitam apabila dia dicabul pemandu van yang sepatutnya menghantarnya pulang di Merotai di sini.

Dalam kejadian sekitar jam 12.50 tengah hari itu, mangsa mendakwa diganggu secara seksual oleh suspek sebelum menceritakan insiden kepada ahli keluarga.

Bimbang keselamatan anak, keluarga mangsa segera membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai melancarkan operasi bagi mengesan suspek.

“Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia sekitar 32 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan pada hari sama.

“Turut dirampas sebuah van yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *