Berulang Kali Tagih Hutang Telefon Bimbit Punca Lelaki Warga Pakistan Dibunuh Di Keningau

Suspek utama (baju oren) bersama rakannya ditahan selepas disyaki terbabit kes pembunuhan seorang peniaga warga Pakistan di Keningau, pada 20 September lalu.

KENINGAU: Motif pembunuhan seorang peniaga warga Pakistan yang ditemui ditanam di Kampung Kitung, Jalan Keningau, pada 20 September lalu akhirnya terjawab apabila polis menahan dua lelaki warga Filipina termasuk suspek utama, dengan siasatan mendapati berpunca daripada hutang ansuran telefon bimbit.

Kedua-dua suspek ditahan dalam dua operasi berasingan semalam, oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, suspek utama berusia 33 tahun ditahan pada jam 9 malam di Kampung Sayur, Jalan Durok, selepas dikenal pasti terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku membunuh mangsa seorang diri kerana tidak tahan terus didesak supaya melunaskan hutang ansuran telefon bimbit sehingga mencetuskan pertengkaran.

“Baki hutang ansuran bulanan telefon bimbit suspek hanya RM50, namun dia gagal membuat bayaran selama empat bulan berturut-turut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas suspek pertama membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Filipina berusia 37 tahun di Kampung Kilang Bata, Jalan Keningau-Tenom, kira-kira jam 11.30 pagi, hari yang sama.

“Suspek kedua ini mengaku tidak terbabit dalam pembunuhan namun mengaku hanya membantu mengangkat mayat mangsa selepas didatangi suspek pertama.

“Suspek hanya menyuluh kawasan menggunakan telefon bimbit serta membantu mengangkat mayat ke dalam lubang yang digali suspek utama,” katanya.

Menurutnya, Mahkamah Majistret Keningau meluluskan permohonan reman tujuh hari terhadap kedua-dua bermula 27 September hingga 3 Oktober depan untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Terdahulu, mangsa seorang peniaga berusia 30 tahun dipercayai dibunuh oleh suspek pada 20 September lalu sebelum ditemui pada 23 September lalu.

Mayat mangsa ditemui ditanam kira-kira 100 meter dari rumah suspek yang bekerja sebagai penjaga kebun getah dan tinggal bersama tiga anak.

Penemuan mayat mangsa itu berjaya dilakukan susulan laporan polis yang dibuat rakan mangsa pada 22 September lalu. 

SumbeR: Kupi Kupi FM

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *