Mayat Lelaki Pakistan Dibunuh Sebelum Ditimbus di Kebun Getah Di Keningau

Foto Ihsan Pembaca

KENINGAU: Misteri kehilangan seorang lelaki warga Pakistan sejak Sabtu lalu terjawab selepas mayatnya ditemukan ditanam di kawasan kebun getah di Kampung Kitung, di sini.

Mangsa berumur 30 tahun dan bekerja sebagai peniaga ditemukan dalam keadaan masih berpakaian lengkap bersama kasut dengan kesan kecederaan pada bahagian belakang kepala serta telinga kanan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, mangsa dilaporkan hilang sejak 20 September lalu selepas keluar berurusan di Kampung Meninipir dengan menunggang sebuah motosikal.

“Pada hari sama, pengadu yang juga rakan mangsa gagal menghubunginya. Keesokan harinya, pengadu menerima mesej beserta gambar lokasi terakhir mangsa di Jalan Mangkalias, Tenom.

“Polis yang menjalankan pencarian kemudian menemukan sebuah telefon bimbit milik mangsa di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, usaha pencarian diteruskan sehingga semalam di Kampung Kitung bersama bantuan rakan-rakan pengadu.

“Hasil pencarian menemukan beberapa barangan dipercayai milik mangsa termasuk pakaian, motosikal, sebilah parang dan timbunan tanah baharu berhampiran rumah pekerja kebun getah.

“Pemeriksaan lanjut kemudian dilakukan oleh Unit Forensik dan hasil penggalian di timbunan tanah berkenaan menemukan mayat mangsa yang ditanam kira-kira 100 meter dari rumah pekerja ladang,” katanya.

Yampil berkata, siasatan awal mendapati suspek utama adalah seorang lelaki warga Filipina berusia 32 tahun yang bekerja sebagai penjaga kebun getah di lokasi terbabit.

“Suspek sudah dikenal pasti dan usaha mengesannya giat dijalankan, setakat ini motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Keningau sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *