Remaja Putus Kaki Kiri Dibaham Buaya Ketika Memancing

KIMANIS: Seorang remaja cedera parah apabila kaki kirinya putus selepas dibaham buaya ketika memancing berhampiran Klinik Kesihatan Kimanis pada Jumaat.

Mangsa dikatakan sedang memancing di atas jambatan di belakang klinik berkenaan apabila reptilia itu tiba-tiba muncul dari air lalu menerkam kakinya. Walaupun berjaya melepaskan diri dengan bantuan rakan-rakan, kakinya sudah pun putus akibat gigitan kuat buaya tersebut.

Rakan mangsa yang bertindak pantas terus membawanya ke klinik berdekatan untuk rawatan kecemasan, tindakan yang dipercayai telah menyelamatkan nyawanya.

Seorang penduduk, Mohammad Jaidy berkata, beliau melihat seekor buaya sepanjang 3.5 meter sedang berjemur di Sungai Kimanis, sambil mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada susulan peningkatan kelihatan reptilia itu di kawasan berkenaan.

Kejadian ini berlaku ketika tular satu rakaman video seekor buaya memasuki sebuah rumah yang dilanda banjir di Kampung Klias Kecil, Beaufort pada hari sama, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai ancaman reptilia menceroboh kawasan kediaman.

Penduduk kini mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan segera bagi mengelakkan serangan berulang.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Beaufort baru-baru ini berjaya menangkap seekor lagi buaya selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.03 petang. Empat anggota dikerahkan dan tiba di lokasi 40 minit kemudian, mendapati buaya tersebut berkeliaran di belakang sebuah rumah berhampiran kawasan dapur.

“Pasukan kami terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan teknik khas bagi menangkap buaya berkenaan dengan selamat,” kata Ketua APM Beaufort, Hazlee Shah Abd Hamid.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *