Lelaki Tersepit Kereta Bertembung Lori 10 Tan Di Lahad Datu

Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan sebuah lori 10 tan.

LAHAD DATU : Seorang lelaki berusia 58 tahun cedera selepas tersepit dalam kereta Proton Iswara Aeroback yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Tunku, Kampung Sabah Baru, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi, mangsa yang memandu kereta berkenaan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999, sebelum sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) bersama sembilan anggota, termasuk Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS), dikerahkan ke lokasi.

“Sebaik tiba pada jam 5.46 pagi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori dan Proton Iswara Aeroback, dengan seorang mangsa lelaki tersepit. Operasi menyelamat dijalankan dan mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, pemandu lori yang berusia lingkungan 30-an dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.06 pagi selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *