Tiga Pasangan Dicekup Berkhalwat Malam Merdeka Di Lahad Datu

Antara pasangan khalwat yang ditahan dalam operasi berkenaan.

LAHAD DATU: Malam merdeka bertukar duka buat tiga pasangan kekasih apabila mereka dicekup berkhalwat dalam serbuan Ops Bersepadu di beberapa hotel sekitar bandar ini, tengah malam tadi.

Lebih memalukan, salah seorang daripada pasangan yang ditahan adalah pendatang tanpa izin (PTI) berstatus suami orang, manakala pasangannya pula seorang janda.

Serbuan bermula jam 9 malam hingga 1 pagi itu dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi Ariffin, berkata pemeriksaan membabitkan 10 hotel dengan lebih 60 bilik diperiksa sebelum tiga pasangan terbabit dicekup.

“Antara yang dirampas ketika serbuan ialah kondom, tisu magik dan cecair pelincir. Kami mengingatkan umat Islam supaya menjauhi zina dan tidak melakukan kesalahan jenayah syariah,” katanya.

Difahamkan, semua pasangan yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 84 (Khalwat) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah No 3/1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pesalah wanita, mereka juga berdepan kemungkinan ditempatkan di rumah kebajikan sehingga tiga tahun.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *