
KOTA KINABALU: Proses bedah siasat jenazah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dilakukan secara telus dan berjalan lancar selama lebih lapan jam.
Peguam Shahlan Jufri berkata, bedah siasat dijalankan sekitar jam 11 pagi sehingga selesai kira-kira jam 7.30 malam.
Katanya, selesai sahaja proses bedah siasat, jenazah Arwah Zara dihantar ke tanah perkuburan Islam Tanjung Ubi Sipitang kira-kira jam 9.30 malam untuk dikebumikan semula malam ini.
Menurutnya, sepanjang proses bedah siasat, tidak terdapat sebarang ‘kejanggalan’ dan semuanya berjalan lancar.
“Perjalanan post mortem sangat baik, tidak ada unsur-unsur seperti yang dilaporkan media sosial, seperti ada ‘tangan-tangan’ ghaib.
“Semuanya saya lihat sendiri macamana Arwah Zara diperiksa sehinggalah selesai termasuk pemeriksaan melibatkan organ-organ dalaman.
“Setiap kecederaan itu mereka nilai satu persatu dan bila ada kecederaan, mereka akan panggil saya untuk terangkan mengenai kecederaan itu.
“Saya boleh beritahu bedah siasat dijalankan dengan telus dan berintegriti tinggi. Jangan percaya kepada spekulasi-spekulasi di media sosial sebab saya yang mewakili keluarga Arwah Zara untuk berada di bilik bedah siasat,” katanya kepada media di sini malam ini.
Beliau turut berterima kasih kepada pihak pakar forensik kerana dari jam 11 pagi sampai 7.30 malam tidak duduk dan sentiasa membuat pemeriksaan secara teliti.
Shahlan berkata, memang terdapat kecederaan pada jenazah sebagaimana yang pernah dilaporkan sebelum ini. Namun kecederaan terbabit tidak boleh diceritakan secara terperinci memandangkan perkara itu masih dalam siasatan.
Bagi menjawab persoalan netizen berkaitan ada penglibatan ‘VVIP’, Shahlan mengesahkan tidak ada seorang pun dari kalangan VVIP berada atau masuk ke dalam bilik bedah siasat sepanjang proses itu dijalankan.
Dalam pada itu katanya, laporan penuh hasil bedah siasat belum dapat dipastikan bila akan diperoleh bergantung kepada siasatan pasukan forensik.
“Paling cepat mungkin dua minggu dan paling lambat mungkin dua bulan dan memang kes ini akan berpanjangan walaupun kita mahu ia diselesaikan secepat mungkin seperti kemahuan pihak waris,” katanya.
Beliau yang mewakili ibu Arwah Zara, Noraidah Lamat turut sama tidak meninggalkan bilik bedah siasat bagi mengikuti secara terperinci proses bedah siasat berkenaan.
Selain itu katanya, sepanjang bedah siasat dijalankan, ibu Arwah Zara berada dalam keadaan emosi yang tidak menentu terutama ketika waktu pengecaman jenazah dibuat.
“Kita tahu ini bukan sesuatu yang mudah dan berat kepada ibu Arwah yang sedih tetapi terpaksa melalui proses ini,” katanya.
Semasa jenazah Allahyarhamah diiring keluar dari pekarangan Jabatan Forensik, laungan “Lailahaillallah” daripada orang ramai yang setia sejak awal pagi di Hospital Queen Elizabeth (HQE) bergema kuat mengiringi perjalanan akhir Arwah Zara.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah