Pelari Wanita Cedera Parah Dirempuh Kenderaan Dipandu Lelaki Mabuk di Tawau

Kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai dipandu pemandu mabuk telah melanggar pelari wanita terbabit.

TAWAU : Seorang wanita berusia 41 tahun mengalami kecederaan parah selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol, dalam kejadian di Batu 9, Jalan Apas, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.55 malam itu, mangsa berusia 41 tahun sedang berlari bersama rakan-rakannya dari Bandar Sri Indah menuju ke T2, Jalan Apas, sebelum dirempuh pacuan empat roda yang hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 8.10 malam.

Katanya, siasatan awal mendapati sebuah kereta pelbagai guna (MPV) yang dipandu lelaki berusia 39 tahun dalam perjalanan dari Taman Ria 11 menuju ke Lapangan Terbang Tawau.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, bahagian belakang MPV itu dirempuh pacuan empat roda dipandu lelaki berumur 57 tahun.

“Pelanggaran itu menyebabkan pacuan empat roda terbabas ke kiri jalan lalu melanggar mangsa yang sedang berlari,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan kini dilaporkan kritikal, manakala kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, ujian awal mendapati pemandu pacuan empat roda berada di bawah pengaruh alkohol dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara antara tujuh hingga 10 tahun, denda RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu sekurang-kurangnya 10 tahun,” katanya.

Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti berlari di atas jalan raya pada waktu malam kerana berisiko tinggi akibat penglihatan terhad, kenderaan bergerak laju serta kemungkinan pemandu berada di bawah pengaruh alkohol.

“Gunakan laluan jogging atau kawasan yang selamat dan bercahaya bagi memastikan keselamatan diri,” katanya,

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *