
LAHAD DATU :Tiga wanita tempatan yang merupakan adik-beradik ditahan polis selepas disyaki menggunakan kad ATM milik orang lain yang ditemui tercicir, untuk membeli barangan keperluan peribadi.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, penahanan dibuat susulan laporan yang dibuat oleh pemilik kad ATM selepas menyedari kad miliknya telah digunakan tanpa kebenaran.
“Hasil semakan pengadu dengan pihak bank mendapati kad debit tersebut telah digunakan beberapa kali di beberapa premis sekitar Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek mengaku menggunakan kad tersebut untuk membuat pembayaran secara ‘paywave’. Mereka kemudiannya ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997, kerana mengakses sistem komputer tanpa kebenaran dengan niat untuk melakukan penipuan.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar segera membuat laporan sekiranya kehilangan kad bank atau maklumat perbankan, bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah