
SANDAKAN :Seorang wanita warga asing berusia 32 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli-belah di sini dalam kejadian yang berlaku pada tengah hari Isnin.
Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di balkoni tingkat empat bangunan tersebut oleh orang awam sebelum pihak pengurusan memaklumkan kejadian kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.27 tengah hari.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa lengkap berpakaian dan mengalami kecederaan parah di kepala serta kaki. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya.
Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat masalah rumah tangga. Setakat ini, tiada unsur jenayah atau perbuatan khianat dikesan di lokasi kejadian.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut masih dijalankan.
George turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa. Pasukan bomba turut dikerahkan ke lokasi untuk membantu mengangkat mayat sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah