
RANAU: Seorang lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai pemandu pelancong ditahan pihak polis selepas didapati menggunakan kad pengenalan palsu ketika pemeriksaan jalan raya di Pekan Kundasang, di sini, pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.46 pagi apabila sepasukan anggota trafik menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kereta kompak berwarna putih yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil semakan mendapati nombor kad pengenalan yang dikemukakan oleh pemandu tidak wujud dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Suspek berusia 21 tahun itu ditahan selepas disyaki memiliki dan menggunakan kad pengenalan palsu sebagai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, suspek disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah untuk berada di negara ini.
Superintendan Mursalin berkata, kenderaan yang dipandu suspek turut dirampas dan disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu yang sah. Atas kesalahan itu, saman telah dikeluarkan mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Beliau berkata, pemilik berdaftar kenderaan tersebut juga disaman kerana membenarkan individu tanpa lesen memandu menggunakan kenderaan mereka, satu kesalahan yang turut disiasat di bawah seksyen yang sama.
“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya,” jelasnya.
Permohonan reman terhadap suspek telah dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar tidak membenarkan anak-anak bawah umur memandu kenderaan bermotor tanpa lesen memandu yang sah.
“Tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.
Polis juga menyeru orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya sentiasa dipelihara.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah