
SANDAKAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya berhampiran kawasan sungai di Taman Kenari, Batu 7, di sini semalam.
Mangsa dikenali sebagai Obing Markum, berusia lingkungan 30-an, dari Kampung Batu Putih, dipercayai keluar menjala ikan sekitar jam 4 petang Isnin sebelum perahunya ditemui dua jam kemudian dengan kesan gigitan disyaki buaya.
Menurut sepupu mangsa, Sabturani Omar, mereka bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan oleh penduduk setempat yang menemui perahu mangsa dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika itu, ada yang nampak perahunya bergerak seperti dilibas ekor buaya, tapi tiada kelibat orang di situ. Kami segera memulakan pencarian sehingga malam, namun tidak menemui sebarang petunjuk sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, memaklumkan bahawa sepasukan lima anggota dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 8.50 pagi tadi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan. Setakat ini, mangsa belum lagi ditemui,” katanya.
Difahamkan, kawasan sungai di sekitar Taman Kenari sebelum ini pernah merekodkan beberapa kes serangan buaya, termasuk satu insiden pada September 2022 melibatkan seorang lelaki yang diserang ketika menyeberangi sungai menggunakan rakit buatan sendiri.
Orang awam diingatkan untuk berhati-hati dan mengelakkan sebarang aktiviti berhampiran kawasan sungai berisiko tinggi, khususnya pada waktu senja dan malam.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah