Lelaki Warga Asing Ditahan Curi 86 Tandan Sawit di Kalabakan

Suspek ditahan anggota Polis

TAWAU, 10 Julai 2025 : Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki mencuri 86 tandan buah kelapa sawit dalam satu kejadian di sebuah ladang di Serudong Laut, Kalabakan, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin bin Hussin berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 1.30 petang oleh sepasukan anggota polis bantuan bersama pasukan penguat kuasa ladang Usahawan Borneo ketika menjalankan rondaan rutin di kawasan ladang Sungai Serudong.

“Hasil rondaan membawa kepada penahanan seorang lelaki dalam lingkungan usia 20-an yang didapati sedang mengutip buah kelapa sawit secara haram di kawasan ladang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya turut merampas 86 tandan buah kelapa sawit bersama satu batang tombak dan satu penyodok yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan mencuri hasil ladang.

“Anggaran kerugian berdasarkan nilai semasa pasaran dianggarkan sekitar RM2,000,” tambahnya.

Hasil semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *