
KENINGAU :Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya menahan tujuh lelaki atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Operasi Gempur Bil.1/25 yang dilaksanakan dari 1 hingga 6 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata operasi yang dijalankan di sekitar daerah Keningau dan Tambunan itu merupakan usaha berterusan bagi membanteras aktiviti penagihan serta pengedaran dadah.
Menurutnya, salah seorang suspek ditahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala empat lagi ditahan di bawah Seksyen 12(2) akta yang sama, melibatkan rampasan dadah jenis syabu seberat 7.13 gram.
“Kesemua suspek turut didapati positif dadah melalui ujian saringan air kencing dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, dua lagi individu turut ditahan di bawah seksyen sama atas kesalahan penyalahgunaan dadah.
Operasi ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dalam memerangi gejala dadah yang semakin menular di negeri ini.
“PDRM Keningau akan terus melaksanakan operasi seumpama ini secara agresif dan berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” tegasnya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah