
KOTA KINABALU : Persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bertukar tegang apabila wakil rakyat pembangkang, Calvin Chong Ket Kiun (Warisan–Elopura) berang selepas namanya dipetik oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berhubung tindakannya sering mengeluarkan kenyataan media dan membuat laporan polis berkaitan isu pelaburan syarikat Esteel Sabah Sdn. Bhd.
Ketegangan tercetus apabila Calvin dilihat berang dan wajahnya kelihatan merah padam susulan sindiran pedas yang dilemparkan oleh Jin Zhe, yang mendakwa isu pelaburan tersebut telah dipolitikkan walaupun tiada sebarang soalan dikemukakan mengenainya dalam sidang berkenaan.
Jin Zhe berkata, beliau menjawab soalan yang dikemukakan oleh Jannie Lasimbang (DAP–Kapayan) bagi menjelaskan isu itu kepada Calvin yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan di luar dewan sehingga membuat laporan polis.
“Tetapi beliau (Calvin) tidak berani membuka soalan pada sesi ini. Jadi, saya berterima kasih kepada Kapayan kerana mengemukakan soalan ini kerana ia penting menyentuh imej pelaburan negeri kita.
“Saya hairan dan kecewa, kenapa pelaburan ini dipolitikkan,” katanya semasa menjawab soalan tersebut dalam persidangan yang berlangsung pada Isnin.
Insiden menjadi semakin panas apabila Calvin bangkit dan menempelak kenyataan itu dalam bahasa Hakka sebelum diarahkan duduk oleh Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Jin Zhe kemudian menjelaskan bahawa beliau tidak menghalang Calvin untuk bertanya di luar dewan atau membuat kenyataan media kerana itu adalah haknya sebagai wakil rakyat.
Namun, Calvin sekali lagi bangkit mempertikaikan tindakan Jin Zhe yang didakwanya menyimpang daripada menjawab soalan asal, sebaliknya mempersoalkan tindakannya di luar dewan.
Keadaan akhirnya berjaya diredakan apabila Speaker sekali lagi campur tangan dan menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seterusnya mengemukakan soalan.
SumbeR: Sinar Harian
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah