
KOTA KINABALU : Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang berlangsung pada Isnin depan dijangka menarik perhatian ramai berikutan reaksi hangat rakyat yang menganggap mesyuarat kedua penggal kelima itu menjadi yang terakhir sebelum pembubaran DUN diumumkan.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata, jika mengikut perlembagaan ia mesti mempunyai sekurang-kurangnya tiga persidangan pada setiap tahun.
“Mungkin yang menjadi keghairahan orang tentang persidangan kali ini, banyak yang mengandaikan atau merasakan ini adalah sidang yang akhir sebelum pembubaran. Itu yang dia punya ‘hype’ sikitlah.
“Kalau dari segi persiapan, tidak ada istimewa. Persiapan semua seperti biasa, soalan-soalan pun seperti biasa. Ia hanya takwim untuk sidang yang kedua setiap tahun.
“Kalau bubar selepas ini, ia akan jadi sidang yang terakhir untuk penggal ini tetapi kalau belum bubar, kita mana tahu ada lagi sidang ketiga untuk memenuhi kehendak perlembagaan. Kebiasaannya sidang kedua ini adalah perbekalan tambahan,” katanya kepada pemberita pada Khamis.
Mengulas lanjut Kadzim berkata, mesyuarat selama dua hari itu akan menumpukan tiga Rang Undang-Undang (RUU) yang akan dibahaskan.
“RUU tersebut ialah RUU Cukai Jualan Negeri (Pindaan) 2025 dan RUU Hutan (Penubuhan Hutan Simpan Pindaan) (Pindaan) 2025 dan RUU baharu, Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025.
“Kali ini, selain daripada RUU perbekalan, kita juga ada tiga rang undang-undang yang lain. Satu mengenai perhutanan iaitu pindaan. Satu lagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga pindaan dan satu lagi RUU mengenai Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon.
“Ia bukan belanjawan khas, tetapi hanya perbekalan tambahan. Tambahan yang benda tidak terbajet dalam bajet lepas tapi sudah perlu dibelanjakan dan itu kita perlu luluskan untuk mendapatkan urusan dewan sebagai perbelanjaan tambahan,” katanya.
Sementara itu, Kadzim turut menegaskan bahawa peraturan memasuki dewan perlu dipatuhi pemerhati yang hadir selaras dengan perisytiharan DUN Sabah sebagai kawasan dan tempat larangan menerusi warta berkuat kuasa pada 2 September 2024.
“Bukannya kita larang, bukannya kita halang orang daripada datang, tapi kita tidak mahu DUN ini menjadi macam satu acara di pusat konvensyen. Semua orang berpusu-pusu memandangkan Kawasan DUN ini sudah pun diwartakan sebagai tempat dan kawasan keselamatan.
“Jadi, ada had-had yang harus dipatuhi dalam membenarkan orang ramai berada di sekitar Dewan ini. Jadi kalau ada orang cakap susah sekarang masuk mengikuti sidang dewan itu tidak juga betul.
“Ramai juga wakil rakyat, bila ada orang-orang dari kawasan mahu mengikuti sidang Dewan kita benarkan. Tapi tidaklah sehari penuh atau hari-hari datang. Bila wakil rakyatnya mahu berucap dia mahu datang mengikuti secara langsung kita benarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai persepsi berkaitan kesukaran untuk memasuki dewan tersebut dalam sidang DUN sebelum ini.
Tambah beliau lagi, peraturan masuk ke DUN Sabah dan Parlimen juga tidak mempunyai perbezaan kerana premis yang telah diwartakan sebagai kawasan dan tempat larangan semestinya mengutamakan langkah-langkah keselamatan.
“Prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan pada asasnya sama, cuma Parlimen tu besar. Di sana lagi susah masuk semua pintu guna akses yang dikawal ketat.
“Kalau setakat ruang legar itu boleh masuk tapi dalam dewan bukannya semua orang boleh masuk sewenang-wenang. Ruang dewan adalah tempat untuk berbahas dan berucap. Kehadiran terlalu ramai orang yang berbual-bual hanya akan mengganggu perjalanan persidangan.
“Masih ada yang tidak memahami tertib dewan, seperti larangan bertepuk tangan. Amalan mengetuk meja adalah tanda penghargaan yang dibenarkan dalam konvensyen seperti ini dan ia berbeza daripada acara konsert atau majlis perasmian yang mempunyai suasana tersendiri,” katanya..
SumbeR: SINAR HARIAN
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah