
LAHAD DATU : Tiga lelaki maut dalam satu kemalangan ngeri melibatkan sebuah kenderaan pikap dan treler muatan minyak sawit di Batu 16, Jalan Lahad Datu – Sandakan, malam tadi.
Kemalangan ngeri itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.52 malam.

Katanya, 12 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 30 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah treler muatan minyak sawit dan Isuzu D Max.
“Tiga mangsa lelaki ditemukan tersepit dalam kenderaan dan dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemandu treler lelaki berusia 61 tahun cedera dan dihantar ke hospital.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah