
KUNAK : Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup 125,000 batang rokok tidak bercukai gagal apabila kenderaannya dipintas Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan Kunak Jaya, di sini semalam.
Kenderaan suspek ditahan sepasukan anggota dari Batalion 22 PGA Kunak menerusi Operasi Bersepadu Intra/Inter-Op Taring Alpha 1, hasil risikan bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.
Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sejumlah besar rokok disyaki tidak bercukai yang disembunyikan dalam beberapa kotak.
“Antara rampasan termasuk 95,000 batang rokok putih dan 30,000 batang rokok kretek, selain sebuah kenderaan yang digunakan untuk aktiviti pengedaran barangan seludup.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM218,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mendapatkan bekalan rokok dari Tawau untuk diedarkan di sekitar Kunak.
Suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada IPD Kunak untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen dan ketegasan PGA Briged Sabah dalam membanteras aktiviti penyeludupan, khususnya di kawasan berisiko tinggi sepanjang sempadan negeri,” tambahnya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah