
TAWAU : Cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat lebih tiga kilogram bernilai anggaran RM105,000 berjaya digagalkan Pasukan Task Force, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam satu operasi di kawasan nelayan Inderasabah, di sini pada 20 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin bin Hussin berkata, operasi dijalankan sekitar jam 3.30 petang hasil maklumat awam berhubung kegiatan mencurigakan seorang lelaki dipercayai warga asing.
“Sebaik tiba di lokasi, suspek bertindak melarikan diri dan sempat mencampakkan sebuah beg galas berwarna kelabu ke atas tanah sebelum bertindak agresif ketika ditahan.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg tersebut menemukan tiga bungkusan plastik hijau mengandungi paket lutsinar yang mengandungi bahan hablur jernih dipercayai syabu, seberat lebih tiga kilogram,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurut beliau, dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke pasaran tempatan sekitar daerah Tawau dan kawasan berhampiran.
Suspek berusia lingkungan 30-an dan bekerja sebagai nelayan bagang itu juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Saringan air kencing turut mendapati lelaki berkenaan positif Methamphetamine dan Amphetamine.
Suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
ACP Jasmin turut memaklumkan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan kewujudan rangkaian pengedaran dadah yang lebih besar di kawasan terbabit.
Beliau mengucapkan penghargaan kepada orang awam atas maklumat yang disalurkan, serta menyeru masyarakat untuk terus bekerjasama dalam membanteras jenayah dadah.
“Jauhilah dadah dan jangan mudah terpengaruh dengan sindiket yang menawarkan imbuhan lumayan, kerana perbuatan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi turut menghancurkan masa depan,” tegas beliau.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah