
LAHAD DATU : Seorang wanita berusia 56 tahun maut manakala seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah lori 10 tan di Taman Warisan, Jalan Tengah Nipah, petang tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.34 petang, sebelum mengerahkan lapan anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta, pacuan empat roda dan lori 10 tan. Penumpang kereta disahkan meninggal dunia, manakala pemandunya mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, tiga lagi mangsa yang menaiki pacuan empat roda dan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba, manakala mayat mangsa wanita diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat.
Operasi penyelamatan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang setelah keadaan disahkan selamat.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah