
KOTA KINABALU, 23 Jun 2025 : Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah pagi ini bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah membabitkan pengeluaran lesen cari gali mineral di negeri ini.
Datuk Andi, yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, tiba di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah sekitar jam 9 pagi bersama dua orang peguam, selepas dipanggil SPRM untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, beliau merupakan antara beberapa individu yang dijangka dihadapkan ke mahkamah pada penghujung bulan ini atas tuduhan berkaitan kes tersebut.
Turut dijangka didakwa ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, yang sebelum ini disoal siasat oleh SPRM selama hampir empat jam pada Rabu lalu, serta seorang pemberi maklumat dikenali sebagai Albert, yang dikaitkan dengan penyebaran video berkaitan kes berkenaan.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa seorang ADUN dan seorang ahli perniagaan telah ditahan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 kerana disyaki terlibat dalam perbuatan meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000. Kesalahan tersebut dipercayai berlaku antara tahun 2023 dan 2024, bagi tujuan membantu proses permohonan lesen cari gali.
Kedua-dua individu tersebut telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah