
SANDAKAN: Seramai 238 pendatang tanpa izin (PTI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di beberapa lokasi sekitar Sandakan, semalam.
Operasi Mahir dan Operasi Sapu yang bermula jam 1.30 pagi itu menyasarkan kawasan rumah setinggan, tapak pembinaan perumahan dan kilang kayu, hasil aduan orang awam serta risikan selama sebulan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata seramai 480 individu diperiksa, membabitkan 71 pegawai pelbagai pangkat dari Pejabat Imigresen Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Bahagian Penguatkuasa Negeri.
Katanya, hasil pemeriksaan, seramai 238 PTI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh, menyalahgunakan pas lawatan serta bekerja tanpa permit.
“Daripada jumlah itu, 88 lelaki dewasa, 88 wanita dewasa, 30 kanak-kanak lelaki dan 32 kanak-kanak perempuan ditahan.
“Semua PTI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Sandakan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sehingga 4 Jun lalu, seramai 13,850 individu diperiksa dalam pelbagai operasi di seluruh negeri, dengan 2,730 PTI ditahan serta 53 majikan turut diberkas kerana menggaji warga asing tanpa permit.
“Sebanyak 6,058 PTI telah dipindahkan melalui laluan laut dan udara bagi tempoh sama,” katanya.
Beliau menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PTI atau premis yang menggaji warga asing secara tidak sah kepada pihak berkuasa.
“Operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan, menangkap dan mendakwa warga asing yang melanggar undang-undang,
“Ia termasuklah operasi di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.
SH Sitti Saleha menegaskan JIM Sabah terus komited dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara dengan memastikan hanya individu yang sah dari segi undang-undang dibenarkan berada di Malaysia.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah