
TAWAU: Seramai 127 pendatang tanpa izin (PTI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka melalui Program Pemindahan Tahanan PTI, semalam.
Pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Tawau yang dibawa melalui Terminal Feri di sini menuju ke Nunukan, Indonesia menggunakan perkhidmatan feri.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata semua PTI terbabit terdiri daripada pelbagai peringkat umur, termasuk bayi berusia sebulan yang diiringi ibu bapa atau penjaga sah.
“Semua mereka telah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan akan disenarai hitam dalam sistem JIM berdasarkan kesalahan masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini seramai 1,173 PTI warga Indonesia telah dihantar pulang melalui laluan laut, menjadikan keseluruhan jumlah warga asing yang dihantar pulang oleh JIM Sabah mencecah 6,053 orang.
Katanya, pelaksanaan program itu bergantung kepada pengeluaran berterusan Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Malaysia.
“Operasi pemindahan tahanan ini dilaksanakan secara berterusan bagi mengelakkan tahanan ditempatkan terlalu lama di depot Imigresen,” katanya.
Mengulas lanjut, SH Sitti Saleha menegaskan bahawa JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap majikan dan pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen serta pas sah.
“Ia termasuk individu yang melanggar syarat pas atau permit sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Beliau turut menasihati majikan dan masyarakat agar memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan mengikut saluran sah dan mematuhi undang-undang.
“JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI di negeri ini,” katanya.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah