
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai hampir RM150,000 di Kampung Puyut, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 pagi itu pasukan PPM Lahad Datu yang menjalankan serbuan selepas menerima maklumat risikan dan pemantauan di kawasan bakau kampung berkenaan.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil serbuan itu telah menemukan sebanyak 387 karton rokok pelbagai jenama di dalam bungkusan plastik hitam.
Katanya, semua rokok berkenaan dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dan disimpan di kawasan bakau supaya tidak dikesan oleh pihak berkuasa.
“Setakat ini tiada suspek yang mengaku pemilik barang berkenaan dan dipercayai semua rokok itu belum berbayar cukai.
“Semua rokok berkenaan terus dirampas kerana disyaki barang salah dan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, semua rokok itu dianggarkan bernilai RM149,318.40 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Nazri berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah