
KINABATANGAN: Seorang lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika menjala ikan di Sungai Ladang Sepagaya, Kampung Suan Lamba, di sini.
Mangsa warga asing berusia 30 tahun itu dikatakan ke sungai itu untuk menjala, sebelum dipercayai disambar buaya.
Kejadian disedari ahli keluarga mangsa selepas tidak pulang ke rumah dan hanya selipar serta peralatan menjala ditemui di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba, Hairi Utoh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 4.10 petang.
Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi SAR turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang kampung. Operasi pencarian masih dijalankan di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah