Segera Laksana IC Sabah, Gesa SAPP

Richard Yong berkata, SAPP pernah mencadangkan ‘IC Sabah’ kepada suruhanjaya siasatan diraja berhubung isu PATI di Sabah.

KOTA KINABALU: Sudah tiba masa Sabah memperkenalkan kad pengenalan sendiri atau “IC Sabah” bagi membolehkan “Projek IC” diselesaikan, kata Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Richard Yong.

Beliau berkata, ia bukan pengganti MyKad, tetapi mekanismenya bertujuan memperkukuhkan identiti rakyat Malaysia di Sabah.

“SAPP menyambut baik kenyataan Ketua Menteri, Hajiji Noor semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Khamis lepas berkaitan ketegasan kerajaan negeri tidak membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang divaksin memperolehi kad pengenalan serta kewarganegaraan, kecuali Orang Asal yang tidak memiliki dokumen.

“Pengumuman itu begitu penting bagi kita semua, ianya memberikan harapan kepada rakyat Sabah bahawa kerajaan ini prihatin terhadap isu yang hangat diperkatakan.

“Bagaimanapun, SAPP berpendapat, sudah tiba masanya ‘IC Sabah’ diperkenalkan bagi membolehkan isu pemilikan MyKad secara meragukan dan juga Projek IC diselesaikan,” katanya dalam kenyataan.

Yong yang juga Setiausaha Agung SAPP berkata, parti itu mengesyorkan “IC Sabah” kepada suruhanjaya siasatan diraja berhubung isu PATI di Sabah.

Katanya, cadangan itu juga boleh dijadikan rujukan serta dokumen awam ketika ini.

“Projek IC sekitar pertengahan 1980-an adalah duri dalam daging yang merosakkan Sabah berabad lamanya dan ia mesti diselesaikan.

“Menurut beberapa laporan, dipercayai sebahagian daripada 3.9 juta penduduk Sabah adalah PATI, ini satu fakta menakutkan.

Datuk Richard Yong

“Apatah lagi, penduduk di luar bandar, jauh daripada akses, tiada pengangkutan, apabila ada kelahiran baru, tidak dapat didaftarkan dalam waktu singkat, ada yang didaftarkan lewat, ada yang langsung tidak dapat mendaftar, ini sesuatu yang sangat malang bagi mereka.”

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri segera mempertimbangkan cadangan “IC Sabah” dan SAPP sedia membantu, contohnya menyediakan dokumen dan maklumat lain, jika perlu.

“IC Sabah akan menjadi dokumen penting bukan sahaja terhadap perkara yang saya nyatakan tadi, tetapi ia juga bakal menjadi dokumen penting untuk pelbagai urusan seperti tanah, pendidikan, biasiswa, termasuk pemilikan perniagaan di Sabah.

“IC Sabah akan menjamin status dan taraf rakyat Sabah sesuai dengan manifestasi MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan Sabah sebagai sebuah wilayah.”

Yong tidak menolak kemungkinan timbul keraguan terhadap MyKad disebabkan pemalsuan yang menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mengabaikan tanggungjawab sebagai warganegara.

“Enakmen baharu perlu diusul dan diluluskan DUN bagi membolehkan jabatan pendaftaran ‘IC Sabah’ ditubuhkan. Dengan adanya undang-undang khas, maka perkara sedemikian mungkin boleh diminimumkan.

“Jika ‘IC Sabah’ ini dilaksanakan, ia dijangka dapat menyelesaikan isu pengundi hantu dalam senarai pemilih di negeri ini.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *