Bergurau Bawa Bom Di Lapangan Terbang, Polis Bantuan Didenda RM2,000

Saddam diiring keluar selepas prosiding mahkamah dijalankan.

TAWAU : Seorang Polis Bantuan dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menakutkan secara jenayah petugas Lapangan Terbang Tawau (LTT) pada Khamis lalu.

Saddam Buklau,30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut kertas pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan kaunter pendaftaran masuk penerbangan (LTT) pada 20 Mei 2021, jam 8.20 pagi.

Saddam didakwa menyebut perkataan ‘bom’ dengan kuat ketika petugas LTT bertanyakan isi kandungan kotak yang dibawanya ketika mahu menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur.

Tindakan tertuduh itu telah menakutkan secara jenayah dan mendatangkan kegusaran kepada petugas LTT.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau penjara atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Jhesseny Kang dalam rayuannya menjelaskan, dia yang tiba awal di LTT berada dalam keadaan tekanan selepas lama menunggu selain dua anak kecilnya meragam.

Sebaik tiba di kaunter pendaftaran masuk penerbangan, tertuduh mahu memaklumkan kandungan kotak itu adalah putu, namun, menyebut perkataan bom kerana dalam keadaan marah dan tertekan.

Sehubungan itu, tertuduh meminta mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan ia perbuatan tidak disengajakan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya P Kershanathan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan perbuatan tertuduh itu menyebabkan kebimbangan awam.

Malah ia juga menyebabkan ramai tenaga kerja terpaksa dikerahkan ke lokasi dan melakukan penyiasatan termasuk Unit Pemusnah Bom.

Amir Shah Amir Hassan kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 gagal bayar penjara dua bulan.

SumbeR: Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *