Polis Nafi Pukul Aktivis Ditahan Di Tawau

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali berkata, perhimpunan di Kampung Muhibbah Jaya di Tawau semalam adalah aktiviti dilarang kerana menyukarkan pelaksanaan peraturan penjarakan sosial dan pematuhan SOP lain seperti diwartakan kerajaan.

KOTA KINABALU: Polis menafikan dakwaan individu yang ditahan di Kampung Muhibbah Raya, Tawau semalam “dipukul” oleh anggotanya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali, berkata dakwaan itu dipandang serius dan beliau juga mengeluarkan arahan supaya siasatan segera dilakukan.

“Berdasarkan siasatan setakat ini, polis menafikan sekeras-kerasnya berlaku perlakuan sedemikian oleh pegawai atau anggota ke atas salah seorang tahanan.

“Apatah lagi melakukan sebarang kekerasan ke atas mana-mana tangkapan atau orang kena tahan (OKT) yang berada dalam kawalan atau tahanan polis.

“Sekiranya kejadian ini benar-benar berlaku, kita alu-alukan beliau buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi.

Hazani berkata, berdasarkan siasatan individu yang ditahan bukan penduduk Kampung Muhibbah sebaliknya datang dari luar.

Katanya, mereka difahamkan datang ke lokasi berkenaan bukan untuk menyampaikan bantuan, sebaliknya hanya untuk membuat demonstrasi.

“Berdasarkan pemantauan dibuat, semua yang ditahan berhimpun sambil memegang sepanduk yang mengandungi kata-kata provokasi bagi membantah pelaksanaan perintah kawalan di daerah Tawau.

“Penganjur didapati gagal mengemukakan notis pemberitahuan kepada ketua polis daerah dan setelah diberikan arahan bersurai, tidak mengendahkannya dan perhimpunan diteruskan,” katanya.

Hazani berkata, perhimpunan itu adalah aktiviti dilarang kerana menyukarkan pelaksanaan peraturan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP lain seperti diwartakan kerajaan.

Semalam, tujuh individu berusia 26 hingga 31 tahun ditahan susulan perhimpunan membantah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya.

Mereka direman selama dua hari, bermula hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 yang terpakai untuk semua kategori pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *