COVID-19: Semakin Banyak Zon Kuning, Hanya Tinggal 17 Daerah Zon Merah Di Sabah

KOTA KINABALU: Kes positif baharu Covid-19 di Sabah kembali turun kepada 118 kes dengan dua kematian dilaporkan hari ini.

Ini adalah hari ketiga berturut-turut Sabah mencatatkan kes positif baharu di bawah 150 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dua kematian dicatatkan di Kota Kinabalu dan Lahad Datu.

Beliau berkata, daripada 118 kes baharu hari ini, Tawau mencatatkan kes tertinggi dengan 27 kes, diikuti dengan Putatan (16), Kota Kinabalu (11), Sandakan (11), Nabawan (10), Keningau (9), Lahad Datu (9), Kalabakan (6), Papar (5), Kinabatangan (5), Penampang (3), Tuaran (3), Kudat (2) dan Semporna (1).

Hari ini, Ranau dan Beaufort bertukar dari zon merah kepada zon jingga, Telupid berubah dari zon jingga kepada zon kuning dan Nabawan bertukar dari zon kuning ke zon jingga.

Setakat ini, 17 daerah di Sabah masih berada dalam zon merah, lima daerah dalam zon jingga dan lima dalam zon kuning. Zon kuning termasuk Telupid, Tongod, Pitas, Tambunan dan Kuala Penyu.

Menurutnya, daripada 118 kes positif itu, sebanyak 75 kes dari saringan kontak rapat, saringan bergejala 17 kes, saringan kluster sedia ada 13 kes dan 13 kes adalah dari lain-lain kategori.

Sebanyak 266 kes pulih dilaporkan hari ini dengan bilangan kumulatif sebanyak 48,974 kes. Kes kematian di Sabah bertambah menjadi 356 kes.

Setakat ini, sebanyak 51,115 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 1,231 kes aktif yang sedang menerima rawatan, iaitu 464 orang di hospital dan 765 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) serta dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara.

Terdapat 66 orang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 20 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Bilangan keseluruhan katil di hospital dan PKRC di Sabah kekal 6,111 katil dan peratus penggunaan adalah 20.14 peratus.

Bagi sekatan jalan raya (SJR), sebanyak 24,908 kenderaan diperiksa dalam tempoh 24 jam dan 91 kenderaan diarah berpatah balik. Manakala, 33 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *