
BELURAN: Bayi enam bulan antara dua maut dalam nahas kereta ketika dalam perjalanan balik kampung, dalam kejadian di hadapan Klinik Kesihatan Telupid, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Beluran Edoen Macheal, berkata enam anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 100km dari balai Beluran itu selepas pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 6.28 pagi.
“Empat dewasa, dua kanak-kanak, dan seorang lagi bayi terlibat dalam kejadian. Enam berjaya dibawa keluar daripada kereta itu oleh orang awam dan dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, bayi berusia enam bulan bersama seorang lagi individu yang belum diketahui identiti disahkan meninggal dunia, manakala lima lagi mengalami cedera ringan.
Operasi kemudian ditamatkan pada 8.30 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Difahamkan, semua tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan pulang dari Labuan ke Semporna untuk berhari raya semasa kejadian.
Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah