TAWAU : Guru sebuah sekolah rendah agama Hamdi Yusop dan Nur Faten Izzati Rablin seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) masing-masing muncul johan qari dan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sabah 1443H/2022M di sini malam ini.
Hamdi yang mewakili daerah Papar dan Nur Faten Izzati mewakili daerah Kota Kinabalu masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan sijil penyertaan selain hadiah iringan termasuk pakej mengerjakan haji.
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin menyampaikan hadiah kepada pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Masyarakat Tawau di sini yang turut dihadiri isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Hamdi yang memperoleh 89.3 peratus markah mengatasi qari dari Putatan iaitu Nashraf Ideen Nahar yang mendapat 89 peratus markah, manakala Zunaidi Misdaranai mewakili Kota Kinabalu memperoleh 85.8 peratus markah di tempat ketiga.
Nur Faten Izzati yang mendapat 88 peratus markah mengatasi qariah Nabilah Syafawati Sapari dari Nabawan memperoleh 80 peratus markah manakala wakil Putatan iaitu Pangiran Dayang Saliah Awang Salleh di tempat ketiga dengan 78.6 peratus markah.
Hamdi juga diumum sebagai Johan Terbaik keseluruhan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala iringan.
Hamdi dan Nur Faten Izzati bakal mewakili negeri Sabah pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini yang dijadual diadakan di Johor pada Jun.
Sementara itu, Juhar ketika berucap menangguhkan majlis itu berkata negara memerlukan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi teknikal tetapi turut digabungkan dengan nilai-nilai ubudiah dan keusahawanan.
“Dalam kerangka ini, saya amat mengalu-alukan usaha pihak kerajaan mewujudkan sekolah bersepadu yang menyatukan pendidikan agama dan akademik secara seimbang.
“Demikian juga penekanan yang diberikan kepada subjek sains dan teknologi, kejuruteraan dan matematik di samping pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional,” katanya.
Menurutnya, perkara itu penting kerana ketaatan kepada ajaran agama dan penguasaan terhadap kedua-duanya menjadi tunjang utama bagi mengupaya generasi hari ini memain peranan yang proaktif, kreatif, inovatif dan berdaya saing sekali gus dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi global pada masa hadapan. – BERNAMA
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost