
KOTA KINABALU: Lima individu yang ditahan selepas terbabit dalam satu pergaduhan di Api-Api Centre Februari lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.
Kelima-lima tertuduh, iaitu Aldimin Kasim, 25; Nikazwan Sharuddin, 25; Azmil Ali, 18; Steven Chin Ying Lok, 25 dan Junidi Joi Abdullah, 26 didakwa atas pertuduhan merusuh.
Pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian melalui Zoom.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.
Kesemua tertuduh didakwa menyertai kumpulan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan mencederakan dua individu, iaitu seorang transgender wanita berumur 21 tahun dan seorang lelaki berumur 35 tahun.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan dan keganasan terhadap kedua-dua mangsa pada jam 12.21 tengah hari, 25 Februari lalu, di tepi jalan Api-Api Centre, di sini.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi merekodkan pengakuan tertuduh.
Hanya Junidi, yang memiliki MyKad dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan dua penjamin tempatan.
Empat lagi tertuduh tidak mempunyai dokumen pengenalan diri tidak dibenarkan diikat jamin dan akan terus ditahan sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.
Sebelum ini, rakaman video mengenai pergaduhan sekumpulan individu dipercayai pondan tular di media sosial.
Susulan itu, polis bertindak mengesan individu terbabit dan semua mereka berjaya ditahan pada 26 Februari lalu.
Punca kebakaran belum dikenal pasti.Ikuti kami di Channel WhatsApp dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah