IPD KK Serbu 4 Lokasi Pengedaran Dadah, 20 Ditahan

Antara individu yang ditahan dalam serbuan tersebut.

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyerbu empat lokasi yang dikenalpasti menjadi lubuk jenayah dadah di sekitar bandaraya ini, semalam.

Dalam operasi 4.30 pagi itu, seramai 20 penagih dan pengedar dadah ditahan selepas dikenalpasti terbabit dalam aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 47 tahun.

Katanya, salah seorang suspek turut ditahan bersama rampasan dadah jenis syabu bernilai lebih RM7,000.

“Operasi tertumpu di kawasan yang menjadi lubuk aktiviti pengedaran dan penjualan dadah di Kota Kinabalu iaitu Kampung Lok Buno, Taman Putrajaya, Kampung Lapasan dan Kampung Wak-Wak.

“Dalam operasi ini terbukti dengan kejayaan tangkapan seorang lelaki warga asing mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan merampas 22 paket berisi syabu seberat 56.77 gram,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki mengikut Seksyen 39A(1) bersama lima lagi tangkapan mengikut Seksyen 12(2).

Selain itu katanya, pasukan operasi turut menahan 13 lagi individu mengikut Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Secara keseluruhan, pasukan operasi menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 36 individu yang mana 20 lelaki ditahan selepas didapati terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di empat lokasi berkenaan.

Antara individu yang ditahan dalam serbuan tersebut.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 70.09 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM7,009 mengikut harga pasaran semasa,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi menegaskan usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar daerah ini akan sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa.

“Usaha ini adalah demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di Kota Kinabalu dan bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, kerjasama daripada orang awam amat diperlukan,” katanya. – asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *