Kerana PUBG, Wanita Larikan Diri Tinggalkan Anak Dan Suami

Wanita dari Penarik, Setiu itu dikatakan menghilangkan diri sejak 31 Mei lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

KUALA LUMPUR : Gara-gara kerana permainan atas talian PUBG yang popular dalam kalangan remaja, seorang wanita yang juga berstatus isteri orang dikatakan sanggup meninggalkan suami dan anaknya yang masih kecil berusia tiga tahun.

Wanita dari Penarik, Setiu itu dikatakan menghilangkan  diri sejak 31 Mei lalu dan gagal dikesan sehingga kini.

Menurut suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Apis, 24, dari Kampung Pantai Merang, Permaisuri, Setiu, isterinya yang berusia 22 tahun itu gagal dikesan dan dikatakan telah keluar menggunakan sebuah motosikal.

“Ini adalah kali kedua dia telah menghilangkan diri macam ni. Yang pertama hujung tahun lepas. Memang kami ada bertengkar sebelum hari dia menghilangkan diri.

“Ini kerana dia asyik dengan permainan atas talian PUBG dan berkenalan dengan seorang lelaki yang mungkin mempengaruhinya sehingga bertindak sedemikian,” katanya kepada Astro AWANI.

Dia yang hanya membuat kerja-kerja di kampung kesal dengan kejadian itu memandangkan anak mereka masih kecil dan memerlukan kasih sayang seorang ibu.

Jelasnya kali terakhir isterinya itu dikesan adalah di sekitar Manir apabila motosikal tersebut ditinggalkan di sebuah pasaraya di kawasan terbabit.

Dia dan keluarga juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Penarik, Setiu tentang kehilangan  isterinya itu pada Selasa (semalam) dan berharap agar mana-mana pihak dapat membantu mengesan isterinya itu dengan segera.

“Saya dan keluarga turut risau dengan keselamatannya kerana telah beberapa hari tidak pulang dan tidak tahu di mana dia berada. Harap pihak polis dan orang ramai dapat membantu mencari dia dengan segera,” katanya lagi. – Awani

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *