Wanita antara ditahan AADK dalam Ops Cegah

Wanita bersama lima lagi suspek ditahan AADK kerana didapati positif dadah dalam Ops Cegah di Kudat. – Ihsan AADK

KUDAT: Seorang wanita sepatutnya mengambil iktibar selepas tiga bekas suaminya terbabit dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah, namun apa yang berlaku sebaliknya apabila dia pula ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah, semalam.

Lebih memilukan, tiga anaknya berusia satu, 10 dan 16 tahun yang mengharapkan perlindungan Ibu mereka kini buntu kerana wanita itu ditahan angkara dadah.

Difahamkan, suami pertama wanita itu adalah pengedar dadah dan meninggal dunia akibat disyaki pengaruh dadah, manakala suami kedua dan ketiga ditahan polis selepas terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini.

Kini, ketiga-tiga anaknya menumpang kasih bersama nenek mereka.

Ketua AADK Kudat, Fazilawati Aji berkata wanita berusia 39 tahun itu antara enam yang ditahan di Kampung Pantai Bahagia, di sini, dalam Ops Cegah yang bermula kira-kira jam 12 tengah malam dan berakhir 4 pagi semalam.

“Wanita itu ditahan di rumah kongsi yang disewanya kerana disyaki dijadikan ‘port’ melepaskan gian.

“Hasil ujian air kencing didapati dia positif dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fazilawati berkata, pihaknya turut menahan lima lagi individu termasuk seorang wanita kerana didapati terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Semua mereka berusia 19 hingga 50 tahun ditahan di kawasan kampung berkenaan.

“Hasil ujian air kencing mendapati semua mereka positif dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, wanita bersama lima lagi suspek dibawa ke pejabat AADK Kudat untuk disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *