PBS Tegas Kekal Bersama GRS Hadapi PRN17 Sabah

Mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) PBS yang diadakan di Ibu Pejabat PBS di sini.

PENAMPANG : Parti Bersatu Sabah (PBS) mengesahkan pendirian untuk terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) yang diadakan di Ibu Pejabat PBS, di sini, semalam.

“Pendirian kami jelas. PBS akan terus bekerjasama dalam gabungan GRS. Kami komited dengan kerjasama politik ini menjelang PRN17,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut menegaskan komitmen PBS untuk memperkukuh hubungan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), rakan komponen GRS yang diketuai Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

“Kami percaya perpaduan dalam kalangan parti tempatan penting untuk menjamin kestabilan politik dan pembangunan berterusan di Sabah. Hubungan kita dengan StarSabah akan terus diperkukuh,” tambahnya.

Joachim juga mendedahkan bahawa majoriti ahli AMT tidak bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan UMNO atau Barisan Nasional (BN).

Mesyuarat turut disertai Penasihat Utama PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang memberikan pandangan strategik dan hala tuju masa depan parti.

“Panduan Tan Sri Pairin kekal penting buat kepimpinan PBS. Beliau turut berkongsi pandangan bernas dalam mesyuarat Biro Politik,” katanya.

Selain itu, AMT turut membincangkan tahap kesiapsiagaan jentera parti menghadapi pilihan raya serta usaha memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi.

“PBS kekal komited memperjuangkan hak pribumi, kepentingan rakyat tempatan, serta memastikan suara Sabah terus didengari di peringkat nasional melalui pendekatan politik yang konstruktif.

“Kita seru semua ahli kekal bersatu dan bersiap sedia menghadapi pertarungan pilihan raya dengan keyakinan dan semangat jitu,” ujarnya lagi.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *