Polis Nafi Pihak Berkuasa Bakar Rumah Setinggan Di Inanam

Kasim menemui penduduk kampung yang terbabit kebakaran bersebelahan di Kampung Kalansanan, Inanam, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Kebakaran 26 rumah setinggan bersebelahan Kampung Kalanansan, Inanam, di sini, pagi tadi dipercayai berpunca daripada litar pintas dan bukan sengaja dimulakan anggota operasi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kebakaran itu langsung tiada kena mengena dengan kawasan operasi dilaksanakan.

Malah, katanya, kawasan operasi pendatang asing tanpa izin (PATI), dadah dan jenayah itu dijalankan lebih 50 meter dari lokasi kebakaran.

“Sebenarnya kawasan kebakaran ini bukanlah kawasan operasi kita. Malah anggota polis masuk dari belakang, tidak terbabit langsung dengan kawasan sini.

“Video yang ditularkan dan mengatakan pihak polis memulakan kebakaran ini adalah tidak benar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, petang tadi.

Kasim berkata, beliau berjumpa dengan penduduk bagi menerangkan kepada mereka bahawa polis bukan datang untuk membakar rumah mereka.

“Sebaik menyedari kejadian, pihak polis juga yang memanggil pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan untuk mengelak api terus merebak.

“Memang tidak logik kita nak membakar kawasan ini, bukan pihak berkuasa saja malah kerajaan negeri juga tidak sekejam mana untuk membakar rumah-rumah ini.

“Tidak pernah dalam sejarah berlaku yang kita membakar rumah yang dimiliki sama ada bukan warga tempatan atau tempatan berada di negara ini,” tegasnya.

Mengenai punca kebakaran, Kasim berkata, polis masih menunggu laporan forensik daripada pihak bomba.

Bagaimanapun katanya, besar kemungkinan kebakaran itu disebabkan oleh litar pintas berikutan berlaku penyambungan tidak sah di kawasan berkenaan.

“Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) juga sudah memotong tiga sambungan haram bagi mencegah kebakaran merebak,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *