Nama Najib & Tengku Razaleigh Disebut-Sebut PM Interim

Tengku Razaleigh dan Najib

KUALA LUMPUR: Seminggu selepas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan partinya menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, dua nama pemimpin utama UMNO disebut-sebut sebagai Perdana Menteri Interim.

Dua nama berkenaan ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Nama Najib dan Tengku Razaleigh itu hadir selepas kerajaan Muhyiddin dikatakan sudah hilang majoriti dan keabsahan sebagai Perdana Menteri.

Tengku Razaleigh sendiri pada 7 Julai lalu pernah mengatakan kepada Sinar Harian bahawa beliau bersedia untuk menjadi Perdana Menteri Interim sekiranya tiada calon lain yang layak.

“Saya sebenarnya kalau tidak ada orang lain, saya sanggup menerimanya.

“Sebab ini bukan kerja yang mudah kerana nak mengawal penyakit yang telah membawa maut kepada rakyat yang begitu ramai,” katanya selepas temubual eksklusif bersama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah oleh Tan Sri Johan Jaaffar dalam program BERSAMA KU LI .

Pada Rabu, akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily memetik sumber mengatakan Tengku Razaleigh dicadangkan oleh UMNO sebagai Perdana Menteri Interim sekiranya kerajaan Muhyiddin tumbang.

Selain Tengku Razaleigh, Najib turut disebut-sebut sebagai Perdana Menteri Interim dikala Ahmad Zahid tidak mengalah dalam percaturannya bagi membuktikan Muhyiddin telah hilang keabsahaan.

Poster tahniah terhadap pelantikan ahli Parlimen Pekan itu sebagai Perdana Menteri Interim turut tular pada 29 Julai lalu.

Bagaimanapun UMNO menafikannya.

Sejak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan, berlegar pelbagai desas-desus berkenaan percaturan politik tanah air.

Ia membabitkan situasi bakal berlaku terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengenai pembatalan semua Ordinan Darurat.

UMNO pada Isnin menyiarkan 13 surat akuan sumpah (SD) pemimpin yang menarik sokongan terhadap PN dan Muhyiddin selepas Ahli Parlimen Pagoh itu mengegaskan beliau masih mempunyai majoriti sokongan.

Biarpun begitu Muhyiddin berjanji untuk membuat undi percaya di Parlimen pada September depan untuk membuktikan keabsahaan beliau sebagai Perdana Menteri.

Berdasarkan situasi semasa, bilangan ahli Parlimen bersama kem Zahid kini sudah mencecah 15 orang.

Walaupun tidak menandatangani SD, tetapi Tengku Razaleigh sudah memanjangkan surat kepada Speaker Dewan Rakyat untuk berpindah tempat bersama blok pembangkang selain berada di sisi Ahmad Zahid pada sidang media pada Selasa lalu.

Tidak ketinggalan, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad yang sebelum ini dikhabarkan kusut dan pening, akhirnya memutuskan melepaskan jawatan menteri sebagai bukti tidak lagi menyokong Muhyiddin.

Mengikut kiraan semasa setakat ini, dengan penarikan 15 sokongan UMNO itu, jumlah ahli parlimen menyokong Muhyiddin kini ialah 100 orang.

Jumlah itu terdiri daripada Bersatu (31), UMNO (23) (Kem Ismail Sabri), MIC (1), MCA (2), Pas (18), Parti Rakyat Sarawak (2), SUPP (1), Parti Demokratik Progresif (2), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (13), PBRS (1), PBS (1), Star (1) dan Bebas (4).

Jumlah ahli Parlimen yang tidak menyokong Muhyiddin yang diketuai blok pembangkang ialah 120 orang.

Mereka terdiri daripada (42), PKR (35), Amanah (11), Warisan (8), UPKO (1), PSB (2), Pejuang (4), dua ahli Parlimen Bebas iaitu Syed Saddiq Abdul Rahman (Muar) serta Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan 15 ahli Parlimen UMNO (kem Zahid).

Setakat ini, Muhyiddin mempunyai masa sehingga 6 September ini untuk membuktikan keabsahan kerajaannya selepas mendapat perkenan Agong.

Pada Rabu kira-kira jam 5 petang, Muhyiddin mengadakan pertemuan bersama pemimpin parti politik dalam PN di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Antara yang dikenal pasti hadir adalah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Semua pihak ketika ini terus menanti sama ada Muhyiddin akan berjaya melalukan keajaiban dalam tempoh sebulan ini atau Istana Negara akan memanggil ketua-ketua parti politik berdasarkan perkembangan semasa ini. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *