Warisan Tepis Dakwaan ADUN Sebatik Terpaksa Ikrar Kesetiaan

Setiausaha Agung Loretto Padua Jr

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah menolak dakwaan ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir, mengatakan beliau terpaksa melafaz ikrar kesetiaan kepada parti sebelum menjadi calon pilihan raya.

Setiausaha Agung Loretto Padua Jr berkata Hassan, yang meninggalkan Warisan dan berikrar akan menyokong Gabungan Rakyat Sabah minggu lalu, menandatangani surat dan mengangkat sumpah atas kerelaannya sendiri.

Beliau berkata, semua orang, termasuk Hassan, tahu pilihan raya negeri (PRN) diadakan tahun lalu kerana ADUN gabungan pemerintah pimpinan Warisan berhijrah, lalu membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Semua orang marah, termasuk Hassan sendiri, jadi itulah kenapa semua orang mahu tunjukkan kesetiaan ketika sumpah dan tandatangan dibuat,” katanya.

“Tiada paksaan, tidak ada ‘kalau anda tidak tandatangan anda tidak akan jadi calon’.

“Jadi kenapa sekarang dia kata dia terpaksa?”

Presiden Warisan, Shafie Apdal, semalam berkata Hassan membuat ikrar dan menandatangani dokumen kesetiaan kepada Warisan di hadapan peguam parti itu sebelum PRN tahun lalu.

Satu video memaparkan Hassan menyatakan ikrar ditunjukkan kepada pemberita selepas mesyuarat Warisan semalam, yang dihadiri oleh semua Ahli Parlimen dan ADUN.

Menerusi video bertarikh 10 Sept tahun lalu itu, Hassan berjanji akan surat melepaskan kedudukannya sebagai ADUN Sebatik akan diserah kepada Yang di-Pertua Negeri dan DUN jika menukar parti.

Padua menyerahkan surat Hassan ke pejabat Speaker negeri hari ini.

Susulan sidang media Shafie, Hassan menyatakan beliau tidak mempunyai pilihan selain bersumpah setia kepada Warisan tahun lalu kerana mahu menjadi calon pilihan raya.

Beliau mengakui mengangkat sumpah setia itu, seperti yang ditunjukkan dalam video terbabit tetapi mendakwa ia tidak sah, mengatakan: “Sekiranya saya tidak bersumpah saya tidak akan dicalonkan.”

Shafie juga berkata parti itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hassan, dan menambah Warisan tidak pernah memaksanya untuk melafaz ikrar.

Padua hari ini berkata parti itu akan menunggu arahan Speaker.

“Saya percaya orang-orang di Sabah dan di seluruh Malaysia mahu tahu keputusannya … Saya mungkin tersilap tetapi ini mungkin kali pertama perkara seperti ini terjadi.

“Pada masa sama, orang ramai menyokong tindakan kami. Kami mahu buktikan kami menentang lompat parti,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

1091