Pengeluaran KWSP Boleh Dipertimbang Secara Bersasar

Gambar Hiasan

Mencarum melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah satu cara untuk pekerja menyimpan sebahagian pendapatan diperoleh ketika tempoh bekerja untuk digunakan selepas bersara.

Namun, dalam keadaan krisis ekonomi akibat pandemik berpanjangan sekarang – di mana banyak syarikat terpaksa gulung tikar dan pekerja diberhentikan atau dipotong gaji – pengeluaran simpanan di KWSP dianggap salah satu cara untuk membantu dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Baru-baru ini, ada cadangan dan desakan daripada beberapa pihak yang meminta kerajaan mempertimbangkan pengeluaran Akaun 1 KWSP sehingga maksimum RM10,000 sebagai inisiatif untuk membantu rakyat mengharungi cabaran impak COVID-19.

Ramai yang setuju, tidak kurang juga sebaliknya. Namun, wajarkah inisiatif pengeluaran ini dilaksanakan?

Dari satu sudut, pengeluaran simpanan di KWSP diakui dapat membantu memberikan kecairan tunai kepada pencarum. Dari satu aspek lain pula, sudah pasti kelulusan pengeluaran ia akan memberi kesan trade off dalam jangka masa panjang.

Kebimbangan utama, KWSP adalah satu cara pekerja untuk menggunakan simpanan pendapatan mereka selepas bersara. Jadi, wajarkah dikorbankan simpanan hari tua untuk memenuhi keperluan hari ini?

Kerisauan diutarakan KWSP harus juga diambil kira. Berdasarkan maklumat, lebih 71 peratus pencarum KWSP hanya memiliki caruman kurang daripada RM50,000. Secara purata, pencarum hanya mempunyai RM47,000 dalam Akaun 1, manakala untuk pencarum kurang daripada 30 tahun, purata baki mereka hanya RM10,000.

Mengambil kira keadaan ini, beberapa pihak memberikan pandangan supaya cadangan pengeluaran simpanan KWSP ini tidak dipertimbangkan kerajaan.

Alasan diberikan, kerajaan sudah pun memberi bantuan khas lain kepada isi rumah atau syarikat terjejas khususnya melalui beberapa inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Jika dilihat, pengeluaran Akaun 1 KWSP itu bersifat one off dan ia masih tidak mencukupi dan berterusan untuk kelangsungan hidup mereka bagi satu tempoh yang lebih panjang.

‘Bagai ditelan mati emak, diluah mati bapa’ – begitulah perumpamaan kedudukan kerajaan yang kini dalam dilema sama ada wajar atau tidak inisiatif pengeluaran Akaun 1 KWSP ini dilaksanakan.

Jelasnya, kerajaan perlu mencari titik penyelesaian terbaik untuk mengimbang kedua-dua belah pihak.

Diharapkan isu ini dapat diperhalusi sebaiknya, apatah lagi ketika Belanjawan 2021 semakin hampir untuk dibentangkan pada Jumaat ini.

Sekiranya cadangan pengeluaran KWSP ini dipersetujui, kerajaan perlu tampil dengan kaedah bersesuaian. Mungkin kelulusan secara bersasar boleh diambil kira kepada isi rumah yang terjejas pendapatan mereka.

Contohnya, individu dibuang kerja atau pekerja yang gajinya dipotong. Atau mungkin boleh juga dibuat mengikut sasaran kategori kumpulan pendapatan isi rumah seperti B40 dan M40.

Rasanya ini bukan masalah besar kerana maklumat untuk itu sudah sedia ada sama ada melalui pangkalan data penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) atau penerima lanjutan moratorium pinjaman bank sebelum ini.

Selain itu, bagi mengelak pengeluaran secara berskala besar, KWSP sendiri boleh memberikan kelulusan pembayaran secara berperingkat atau berkala untuk satu tempoh tertentu. Misalnya bayaran dibuat secara bulanan untuk satu tempoh atau sehingga capai had maksimum peratus dibenarkan.

Malah, jumlah had maksimum diberikan mungkin bukanlah secara prorata seperti RM10,000 bagi setiap pencarum kerana baki Akaun 1 untuk setiap pencarum adalah berbeza.

KWSP sendiri dan kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan kelulusan pengeluaran berdasarkan peratus tertentu daripada jumlah baki Akaun 1 KWSP, misalnya kadar 10 peratus daripada simpanan dalam akaun itu.

Pencarum juga seharusnya diberikan opsyen untuk mengeluarkan wang simpanan mereka kerana mungkin ada yang tidak berniat membuat pengeluaran. Ini juga dapat mengelakkan pengeluaran berskala besar di KWSP.

Apa pun, mereka yang diberikan kelulusan pengeluaran perlu merancang kewangan secara berhemat. Ini penting bagi memastikan kelangsungan pendapatan untuk satu tempoh lebih lama. Justeru, perlu ada perancangan perbelanjaan yang berhemat kepada pencarum.

Sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP, pastinya ia memberi kelegaan kepada rakyat yang terjejas pendapatan akibat pandemik. Dengan membenarkan pengeluaran wang simpanan KWSP, ia dapat memberikan kecairan tunai kepada mereka yang masih perlu menanggung komitmen perbelanjaan isi rumah meskipun hilang sumber pendapatan.

Dari segi ekonomi, sekiranya cadangan pengeluaran KWSP ini dilaksanakan, ia dapat meningkatkan jumlah penggunaan kerana ramai yang akan berbelanja. Ini akan mengembangkan lagi aktiviti perniagaan.

Melalui kesan pengganda, ia dapat meningkatkan permintaan agregat domestik dan seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat serta negara apabila ekonomi kembali rancak akibat peningkatan dalam perbelanjaan domestik swasta yang mana menyumbangkan kira-kira 58.75 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, pengeluaran wang KWSP boleh bertindak sebagai satu alternatif untuk kerajaan meningkatkan kecairan tunai kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik, selain bantuan lain yang diberikan kerajaan seperti BPN.

Dengan kedudukan fiskal kerajaan sekarang yang turut terjejas akibat pandemik, adalah sukar untuk kerajaan memberikan bantuan secara berterusan.

Maka, inisiatif pengeluaran KWSP antara cara untuk membantu isi rumah terjejas meneruskan kelangsungan kehidupan mereka.

Penulis adalah Ketua Kluster (Polisi dan Dasar) Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *