GST Dijangka Tidak Diperkenalkan Semula – Penganalisis

KUALA LUMPUR: CUKAI Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka tidak akan diperkenalkan semula oleh kerajaan khususnya dalam jangka sederhana memandangkan ekonomi negara yang masih belum pulih sepenuhnya daripada krisis COVID-19, demikian menurut Affin Hwang Capital.

Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidikannya, Alan Tan, berkata berdasarkan panduan daripada kerajaan, sasaran defisit fiskal tahun ini akan meningkat antara 5.8 hingga 6.0 peratus sebelum diturunkan kepada 4.0 peratus dalam tiga hingga empat tahun akan datang.

Maka katanya, panduan itu menjadi petunjuk bahawa GST mungkin tidak akan diperkenalkan.

“Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada November ini adalah belanjawan pengembangan, yang mana ia akan menyokong pertumbuhan ekonomi negara terutama permintaan domestik dan bukan hanya di bahagian pengguna, tetapi juga perniagaan.

“Begitu juga kerajaan dijangka akan berbelanja untuk perbelanjaan pembangunan yang mana terdapat beberapa projek pembinaan mega akan dihidupkan semula pada tahun depan. Maka, secara asasnya ia akan memerlukan kerajaan untuk berbelanja dalam perbelanjaan pembangunan.

“Justeru, kami tidak menjangkakan GST akan diumumkan dalam belanjawan akan datang berpandukan apa yang telah dinyatakan Menteri Kewangan sebelum ini untuk menurunkan defisit fiskal kepada 4.0 peratus dalam tiga, empat tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat unjuran ekonomi Malaysia separuh kedua tahun 2020 di sini, hari ini.

GST mula dilaksanakan pada 1 April 2015 sebelum dimansuhkan dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Mengenai kadar GST yang sesuai jika ia diperkenalkan semula, Tan berkata, pada pendapatnya kadar empat peratus adalah kadar yang sesuai untuk mula diperkenalkan sebelum dinaikkan secara berperingkat kepada kadar seperti sebelum ini, iaitu enam peratus.

Katanya, pihaknya percaya untuk memastikan pengenalan semula GST ini dapat diterima dengan baik oleh orang awam, kerajaan dicadangkan untuk memperkenalkan kadar GST pada kadar neutral pendapatan.

“Maksudnya ialah, hasil kutipan cukai daripada GST ini adalah mencukupi untuk menampung hasil daripada kutipan SST yang dilaksanakan ketika ini.

“Pada masa sama kerajaan juga boleh memperkenalkan pakej pampasan tertentu seperti memberi bantuan tunai terutamanya kepada golongan B40, yang mana ia akan membantu dari segi penerimaan orang awam terhadap GST.

“Apabila situasi ekonomi kembali pulih, kerajaan kemudian boleh secara perlahan-lahan meningkatkannya kepada enam peratus, sama seperti kadar sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu Tan berkata, pihaknya mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia untuk menguncup -3.5 peratus pada tahun ini, diheret oleh jangkaan pertumbuhan negatif dalam eksport sebelum melantun naik kepada 4 peratus tahun depan.

Katanya, biarpun bank pelaburan itu menjangkakan separuh kedua tahun ini akan memulih, namun pertumbuhan KDNK untuk suku ketiga (S3) dan keempat (S4) masih di dalam wilayah negatif.

“Kami fikir pemulihan pada separuh kedua 2020 kemungkinan akan perlahan. Pada suku kedua pula, pertumbuhannya dijangka akan menguncup negatif paling tajam yang kami mengunjurkan sebanyak 10 peratus, berdasarkan eksport, pengeluaran dan permintaan domestik yang lemah.

“Pertumbuhan negatif dalam ekonomi negara tidak akan berubah kepada positif dalam waktu terdekat. Ia akan kekal di wilayah negatif pada S3 dan S4. Mungkin penurunan itu pada skala yang lebih kecil tetapi tetap berada dalam wilayah negatif.

“Apabila saya menyebut mengenai pemulihan pada separuh kedua, ia tidak semestinya bermaksud bahawa keadaan akan kembali normal. Cuma kita akan melihat pertumbuhan yang kurang negatif dan justeru itu keadaan di mana pemulihan akan positif dari segi KDNK hanya berlaku pada tahun 2021,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *